Rabu, 21 Oktober 2015

Mendidik Insan Berkemahiran

Teringat aku suatu masa dahulu apabila seorang rakan guru melafazkan ayat...
"Anak saya belajar Kemahiran Hidup, tapi betulkan lampu pun tak tau" terkesima dengan tutur bicaranya. Satu persoalan menjadi tanda tanya...mengapa hal ini berlaku?
Subjek KH pernah dianaktirikan apabila dianggap subjek yang tidak penting untuk peperiksaan suatu masa dahulu. Namun tak siapa pernah terfikir, subjek ini sebenarnya melatih seseorang insan berkemahiran. Meskipun kemahiran asas, namun kemahiran inilah yang melatih anak-anak untuk melakukan tugasan di rumah dan meringankan tugasan ibu bapa.
Kemahiran jahitan asas misalnya membantu pelajar itu sendiri mempelajari jahitan mudah yang boleh mereka gunakan jika keadaan terdesak. Namun saya lihat pelajar-pelajar ini mampu melakukan lebih daripada yang diharapkan, mereka mampu menghasilkan hasil tangan yang menarik dengan menjana idea kreatif mereka. Mereka juga didedahkan dengan kemahiran membaiki plag 3 pin, memasang lampu pendarflour, membuat penyambungan paip, kerja asas pertukangan, memyemai tanaman hiasan, masakan dan kemahiran lain yang boleh mereka lakukan apabila mereka berada di luar.



Pelajar mempelajari jahitan asas sambil menjana idea kreatif mereka


JASA BONDA- ANAK-ANAK PT 3



Didedikasikan untuk anak-anak didikku yang amat kusayangi...
Kasih sayangku pada kalian melebihi sayangku pada diriku sendiri..
Cinta dan pengorbanan Bondamu mengatasi kesukaran yang dihadapi
Buatlah terbaik anak-anakku...
Ingatlah insan-insan yang dekat dengan kalian...
jangan calari hati mereka ...
ingatlah kalianlah permata berharga ...


Saya sayang cikgu saya

Hati berbunga riang
Senyum terukir lebar
Saat menatap dia melangkah
Saat mata tertancap insan pujaanku
Hari ini dia datang
Hari ini dia datang
Hati kecil bersorak gembira
Dia penyeri siangku
Dia penerang gelapku

Mata tak lepas memandang
Terzahir keiklasan ilmu dititip
Insan penuh kesantunan
Dialah penglipur lara
Dialah hero dalam watak
Dialah badut pelawak tersohor
Pencetus Ummah juga miliknya

Guru, ayah, ibu, teman semua mampu kaugalas
Adakalanya gerammu membuak
Adakalanya gelodak jiwamu membadai
Adakalanya hatimu disapa keciwa
Amanah Tuhan tetap didahulukan
Kasih sayangmu mengatasi kebencian

Rindu aku rindu
Rasa rindu ini belum terlerai
Rasa kehilangan belum terubat
Bait-bait indah yang pernah diajari
Garapan puisi yang pernah dikongsi
Contengan lukisan yang dilakar

Cikguku,
kubenam sayangku dalam-dalam
Kusimpul cintaku dengan simpulan mati
Kusimpan kasihku kemas-kemas di dada
Perasaan ini biar Tuhan yang tahu
Setiap doaku tak lepas buatmu
Cikguku  buah hatiku

Sementara hayat mengasuh hasrat
Lipatan sejarah silam
kulakar sebagai penyambung warisan
biar impian kita melebar luas




Selasa, 20 Oktober 2015

CITRA KASIH TMJ KAMI



 Nukilan khas buat pemuda harapan kami..
Menjunjung kasih setinggi-tingginya buat insan yang sarat dengan idea dan mampu mengemudi Bumi Jauhar ini gah di mata dunia.


 CITRA KASIH TMJ KAMI
Ada kasih melimpah ruah dibalik wajahnya,
Wajah pemimpin kesayangan rakyat jelata,
Wajah tegas disulami sejuta pengertian,
Wajah matang menyusun strategi.
Garapan idea membela maruah,
JDT bangkit di persada dunia,
Wajah-wajah protes pasti tertunduk malu.

Citra kasih anak watan Darul Takzim,
Bukan omongon kosong bukan janji palsu,
Cacian ,hinaan mengiringi langkah kejayaan,
Cemburu dan dengki melempias pelosok Jauhar ini,
Citra kasih TMJ kami bukan sembarangan,
Kuntuman tawa rakyat impian beradunya.

Bicaranya penuh hemah dan bijaksana
Pemikiran intelektual seorang pemimpin,
Sarat idea kritis dan bermakna,
Berani bertempat demi maruah jelata,
Simbahan hinaan disangkal dengan santunnya

Tiupan semangatnya menyembuh kecewa luka,
Positif menerjah menyemarak jiwa bangsa,
Naluri kesepakatan hadir menguasai minda,
Genggaman kesepaduan bukan igauan
Merah Biruku ayuh bangkit luaskan kuasamu,

Bumi JDT dibasahi kasih dan sokongan,
Pemimpin berjiwa rakyat ,
Benteng yang setia menangkis dan menepis.
Himpunan kasihmu kami junjung,
Citra kasih TMJ kami.

Hasil Nukilan:
Srikandi Selatan
Pemenang Hadiah Sayembara Puisi Suara Hati Johor

Selasa, 6 Oktober 2015

Berakhirnya Sebuah Perjuangan

 Buat Insan-Insan Tersayang:

Hari  ini aku melepas kelegaan
terasa satu beban berat gugur
pahit jerih terbayar sudah
penat lelah hilang dalam nafas ini

Anak-anakku
hadiah berharga buat kalian,
bertahun hidup seolah tak beribu
hari-hari disoroti sendirian
biarlah ibu bayar segala masa yang hilang
ijazah ditangan buat kebanggaan kalian

Kekasihku,
banyak pengalaman ini mendewasakan kita
terima kasih sudi berkorban untukku
menjadi teman dan pendengar keluhan
mengurus anak-anak dalam kesabaran

Ya Allah kusyukuri nikmat ini,
banyak benar anugerah Kau beri,
Malunya aku hambaMu yang sering alpa,
Lindungilah aku dalam naunganMu
jauhkan aku dari sikap banga diri

buat teman-teman seperjuangan
terasa benar kehilangan kalian,
dalam kegembiraan ada hati tercalar
sendu sendan mengiringi perpisahan
kasih sayang melingkari segenap ruang hatiku
tidak mampu rasanya ku lerai pelukan kalian

Terima kasih semua
kerana hadir dalam perjuangan ini
membantu memberi kekuatan
biar pernah jatuh tersungkur
menangis dan kecewa
langkah terus kugagahi
kerana adanya kalian di sisi